Sulaiman kembali fokus tugas Adun, jumpa rakyat guna motosikal

DATUK Seri Sulaiman Md Ali hari ini kembali memberi fokus sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu selepas tidak lagi memegang jawatan Ketua Menteri Melaka.

Sulaiman dalam hantaran video di Facebook, berkata beliau akan memfokuskan kepada tugas sebagai Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) di Lendu.

“Ini hari pertama saya tidak lagi menjadi Ketua Menteri. Saya akan memulakan tugas saya sebelum ini di Japerun Lendu.

“Jika ada sebarang permasalahan, hadirlah ke pejabat saya,” katanya dalam video itu.

Menerusi video itu juga, Sulaiman kelihatan bersahaja menaiki sebuah motosikal dan berbaju Melayu berwarna hitam.

Sebelum ini, Sulaiman dilaporkan berkata tindakannya melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri dibuat tanpa desakan mana-mana pihak.

Tempatnya digantikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13, pada Jumaat lalu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights