PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) mengesahkan tiada mogok doktor kontrak di fasiliti kesihatan awam di seluruh negara, hari ini.
Bagaimanapun, Presiden MMA, Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, orang ramai masih bimbang dengan jangkaan mogok dan isu berkenaan perlu ditangani segera.
“MMA menerima panggilan daripada orang ramai yang bertanyakan sama ada kemudahan penjagaan kesihatan awam beroperasi seperti biasa hari ini. Kami memberi jaminan kepada mereka ia sememangnya beroperasi.
“Kami berharap, Kementerian Kesihatan (KKM) akan meredakan kebimbangan itu dan meyakinkan orang ramai semua perkhidmatan penjagaan kesihatan awam disediakan tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Muruga berkata, mesej mengenai isu mogok doktor kontrak yang menimbulkan panik dan ketakutan perlu ditangani dengan mesej yang betul daripada pihak berkuasa.
“Kami menasihatkan orang ramai untuk mengesahkan maklumat yang mereka terima dan hanya mempercayai sumber yang boleh dipercayai untuk sebarang berita atau kemas kini,” katanya.
Media semalam melaporkan kumpulan doktor kontrak yang merancang untuk mengadakan mogok selama tiga hari bermula hari ini, tidak berganjak daripada keputusan mereka untuk meneruskan tindakan itu.
Jurucakap kumpulan itu yang dikenali sebagai Mogok Doktor Malaysia di Instagram, mendakwa seramai 10,000 hingga 12,000 petugas kesihatan akan menyertai mogok berkenaan.
Katanya, mereka tidak akan hadir bertugas selama tiga hari bermula hari ini, dengan mengambil cuti sakit atau cuti kecemasan. – Malaysiapost