AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) melakukan protes dengan keluar beramai-ramai dari Dewan Rakyat, pada sesi pagi persidangan hari ini.
Tindakan itu dibuat apabila Timbalan Speaker, Alice Lau tidak membenarkan usul pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibahaskan hari ini.
Usul itu dicadangkan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) pada awal persidangan ketika sesi membacakan aturan mesyuarat yang memaklumkan bahawa usulnya membahaskan isu tersebut ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat.
Wan Ahmad Fayhsal tetap berkeras mendesak agar usul tersebut dibenarkan untuk dibahaskan kerana melibatkan kepentingan rakyat.
“Tuan yang dipertua, saya telah menerima jawapan balas daripada pejabat Tuan Dipertua Dewan Rakyat berhubung usul yang saya hantar pada Jumaat lalu.
“Malangnya pagi ini saya lihat usul ini ditolak dengan alasan bahawa timbalan menteri dan menteri kewangan telah menjelaskan berkenaan pengeluaran bersasar KWSP ini.
“Tapi saya dapat banyak pandangan dan komplen keresahan daripada rakyat bahawasanya penjelasan daripada kedua-duanya tak memuaskan mereka, jadi izinkanlah untuk kami bahaskan perkara ini hari ini… berbaki dua hari lagi (sidang Dewan Rakyat), sebelum kita tamat sesi sidang Parlimen hari ini.
“Bolehkah ia dipertimbangkan demi kepentingan orang ramai yang perlukan pengeluaran KWSP bersasar kali ini? Mohon pertimbangkan,” katanya.
Alice tetap bertegas dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul sekali gus meminta Wan Ahmad Fayhsal menghantar usul berkenaan sekali lagi sekiranya tidak berpuas hati.
Dewan Rakyat terus kecoh apabila Ahli Parlimen pembangkang yang lain, antaranya Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mencelah dan mendesak agar Alice melayan permintaan PN.
Namun, Alice tetap bertegas dan menyatakan pendirian usul tersebut ditolak.
Susulan itu, Ahli Parlimen PN mengancam untuk meninggalkan dewan sebagai tanda protes.
“Kalau begitu caranya, saya fikir kami di sini mahu juga perkara ini dibahaskan. Kalau tak mahu dibahaskan kami boleh keluar untuk menunjukkan bahawa kami protes dalam perkara ini,” kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Silakan,” kata Alice. – Malaysiapost