SEMPENA ulang tahun parti Keadilan yang ke-24, hari ini, Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kepada semua bahawa kuasa adalah amanah dan bukan keistimewaan.
Anwar juga Perdana Menteri, berkata dengan amanah itu hak dan kebajikan rakyat mesti yang terutama dalam membentuk kebijakan.
“Keadilan berpasak atas semangat islah yang kuat. Selalu saya ingatkan kepada semua bahawa kuasa adalah amanah dan bukan keistimewaan.
“Tugas dan tanggungjawab yang digalas hari ini adalah amanah yang mesti kita pikul sebaiknya dengan matlamat membawa perubahan yang bermakna.
“Selamat ulang tahun Keadilan yang ke-24 kepada seluruh anggota dan pimpinan Keadilan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook, malam ini.
Keadilan ditubuhkan pada 4 April 1999 dan diasaskan daripada daripada gelombang Reformasi yang melanda Malaysia selepas pemecatan Anwar yang juga Timbalan Perdana Menteri ketika itu daripada Umno pada 2 September 1998.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 pada 24 November 2022. – Malaysiapost