Anwar mohon tempoh jawab tuntutan Tun M

DATUK Seri Anwar Ibrahim memohon diberi masa lanjut untuk menjawab notis tuntutan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menuntut beliau menarik semula kenyataan yang didakwa memfitnah pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 bulan lalu.

Dalam notis bertarikh 27 Mac lalu, Dr Mahathir menuntut Anwar menarik semula kenyataan fitnah yang dibuat ketika kongres pada 18 Mac yang mendakwa bekas Perdana Menteri itu membolot hasil kekayaan untuk diri dan keluarga ketika berkhidmat.

Dr Mahathir juga memberi tempoh selama tujuh hari kepada Anwar untuk menjawab notis tersebut.

Menurut firma guaman Tetuan Rafique yang mewakili Dr Mahathir melalui kenyataan media hari ini, pihaknya menerima pemakluman daripada peguam cara Anwar, iaitu Tetuan Thomas Phillip bahawa mereka memohon masa sehingga 17 April ini untuk menjawab notis tuntutan berkenaan.

Firma guaman itu berkata, anak guamnya tiada halangan kepada permintaan itu dan merizabkan segala hak beliau dalam tuntutan tersebut.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Dr Mahathir menuntut penjelasan daripada Anwar berkenaan tuduhan-tuduhan yang dibuat terhadapnya pada kongres itu.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, walaupun Anwar tidak menyebut namanya. tetapi berdasarkan laporan akhbar, orang ramai faham tuduhan itu dilemparkan kepada dirinya.

Beliau berkata, Presiden PKR itu menuduhnya ada berbilion ringgit dan mengagihkan kekayaan kepada keluarga, anak serta menuduhnya sebagai penyangak yang sekaligus memberi gambaran buruk kepadanya.

Dr Mahathir menegaskan ia adalah fitnah melainkan Anwar boleh menunjukkan bukti bahawa beliau mendapat berbilion ringgit dan melarikan duit ke luar negara serta tidak membayar cukai.

Menurutnya, fitnah yang dilemparkan itu amat teruk seolah-olah memberi gambaran beliau mencuri duit seperti yang dilaporkan media.

Katanya, oleh itu beliau membuat keputusan supaya Anwar menarik balik fitnah yang dilemparkan itu atau menunjukkan bukti dan jika tidak dijawab maka tindakan undang-undang akan diambil. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights