DUA penganut Kristian dari Sabah hari ini gagal mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan saman mereka terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan yang didakwa menghasut penganut Kristian.
Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian memohon kebenaran untuk mengembalikan saman pemula itu yang dibatalkan Mahkamah Tinggi pada 7 Mei 2021 selepas mendapati ia remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah.
Mereka juga gagal dalam rayuan untuk mengembalikan saman pemula itu di Mahkamah Rayuan selepas ditolak mahkamah tersebut pada 16 Ogos 2022, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Harminder Singh Dhaliwal sebulat suara membatalkan permohonan kebenaran itu.
Panel membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan dibuat tanpa aturan sepatutnya kerana tidak tidak disokong afidavit yang teratur dan sah kerana tidak ditandatangani pesuruhjaya sumpah, mengikut Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Dalam prosiding secara dalam talian itu, panel berkenaan tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.
Maklin dan Lawrence memfailkan saman pemula pada 9 Disember 2020 dengan mendakwa Abdul Hadi selaku Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah Bertaraf Menteri pada ketika kejadian mengeluarkan kenyataan menghasut berhubung penganut atau mubaligh Kristian.
Mereka mendakwa, kenyataan Abdul Hadi disiarkan dalam akhbar Harakah pada 18 Januari 2016, oleh itu mereka
memohon perisytiharan antaranya bahawa Abdul Hadi melakukan tindakan hasutan yang bertentangan Seksyen 3 Akta Hasutan 1948.
Mereka juga memohon perisytiharan bahawa Abdul Hadi tidak layak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan termasuk suatu jawatan yang setara dengan jawatan menteri.
Prosiding hari ini turut disertai peguam, R Kengadharan mewakili kedua-dua pemohon manakala Abdul Hadi diwakili peguam Yusfarizal Yussof. – Malaysiapost