SITUASI semasa jangkitan Covid-19 di Malaysia bagi Minggu Epidemiologi ke-13 tahun 2023 (ME 13/2023) iaitu dari 26 Mac hingga 1 April lalu dilaporkan meningkat.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata secara keseluruhan, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 24.1 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Menurutnya, pesakit kategori 1 dan 2 meningkat sebanyak 80.0 peratus; manakala pesakit kategori 3, 4, dan 5, meningkat sebanyak 33.3 peratus.
Dr Noor Hisham berkata, dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 1 April 2023 (ME 13/2023), situasi terkini Covid-19 di Malaysia merekodkan 5,052,337 kes kumulatif, kumulatif kes sembuh (5,004,546 kes), kes aktif (10,324 kes), kumulatif kes kematian (36,984 kes), dan kumulatif kluster sebanyak 7,183 kluster (kluster aktif: 11 kluster).
Beliau berkata, jumlah kluster turut dilaporkan meningkat dari ME 1/2023 hingga ME 13/2023 dengan 18 kluster telah dilaporkan.
“Daripada jumlah tersebut, 11 merupakan kluster pendidikan, lima kluster kumpulan berisiko, dan dua kluster pusat tahanan (Rajah 5).
“Berdasarkan kluster yang dilaporkan, didapati terdapat peningkatan mendadak kluster pendidikan pada ME 13/2023,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, daripada 11 kluster pendidikan yang dilaporkan, enam kluster melibatkan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Kluster berkenaan membabitkan tiga kolej dan masing-masing satu sekolah agama menengah, sekolah berasrama penuh, dan sekolah menengah.
“Manakala lima lagi kluster merupakan kluster pendidikan lain iaitu empat maktab dan satu taska,” katanya yang turut menyarankan pelajar, guru dan kakitangan sekolah menjalankan saringan bergejala sebelum masuk ke sekolah.
Beliau berkata, peningkatan kes dan kluster Covid-19 pada ketika ini berlaku berikutan pembukaan semula sesi persekolahan pada pertengahan Mac 2023.
Menurutnya, peningkatan kes juga disebabkan oleh pergerakan masyarakat yang banyak sewaktu musim cuti sekolah yang lalu. – Malaysiapost