Pemuda Umno mesti juarai suara rakyat – Dr Akmal
PEMUDA Umno perlu menjuarai suara rakyat walaupun ia bertentangan dengan keputusan kerajaan, tegas Ketuanya Dr Muhamad Akmal Saleh.
Menurutnya, selagi mana ia adalah suara rakyat maka Pemuda Umno perlu kekal konsisten membawa suara rakyat untuk pembelaan yang sewajarnya
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata, barisan kepimpinan baharu sayap Umno itu mempunyai hala tuju yang baharu dan pastinya lebih dinamik.

“Kita sedia maklum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tempoh hari, kekalahan Umno dan Barisan Nasional (BN) rata-ratanya adalah berpunca daripada pengundi muda.
“Sudah pasti ini menjadi tanggungjawab yang berat buat kami untuk mengembalikan semula kepercayaan orang muda terutama pengundi muda Melayu,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco Pemuda Umno Malaysia, hari ini.
Ditanya sama ada Pemuda Umno akan masuk ke universiti bagi memberi penerangan kepada pengundi muda, beliau memaklumkan sayap itu bercadang bukan hanya ke universiti tetapi juga sekolah untuk menjalankan program pengkaderan.
Menurutnya, ia sebagai usaha meningkatkan pengetahuan berkaitan hal ehwal politik sebelum mereka layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

“Memang ada (cadangan masuk universiti). Sebab itu di bawah biro pengkaderan dan latihan bukan setakat di universiti tetapi kita akan fokus juga di sekolah.
“Kita sedia maklum apabila Undi18, kalau menjelang PRU-16…hari ini adik-adik kita yang berumur di Tingkatan Dua nanti apabila PRU-16 sudah boleh jadi pengundi,” katanya.
Dr Muhamad Akmal, berkata Pemuda Umno akan masuk ke universiti dengan penuh berhemah supaya ada hubungan yang baik antara dengan universiti dan pihak sekolah. – Malaysiapost