PM ingatkan orang Melayu jangan angkuh

SEBAGAI kaum majoriti, orang Melayu Islam perlu mengambil pengajaran daripada pentadbiran Kemboja yang meraikan kaum minoriti di negara mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kaum Melayu Islam di negara ini diingatkan tidak terlalu selesa dan angkuh sehingga meminggirkan kelompok yang lain.

“Kemboja adalah negara yang majoritinya dianuti oleh masyarakat Buddha tetap meraikan sekumpulan minoriti Islam yang hanya 10 peratus dengan mengadakan program iftar serta melantik menteri Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, sikap selesa dan angkuh bukan dianjurkan dalam pengajaran serta pedoman Rasullah SAW sebagaimana Perjanjian Madinah yang menyatupadukan semua pihak asalkan patuh kepada peraturan, Perlembagaan serta tidak memerangi majoriti.

“Sebab itu sementara kita menjaga kepentingan Melayu Muslim, kita harus pastikan ada prinsip saling hormat-menghormati, meraikan dan memberi hak kewarganegaraan kepada semua,” katanya.

Anwar turut menafikan Kerajaan Perpaduan pimpinannya dikritik keras kerana ada pihak yang merasakan kaum lain diberi lebih perhatian.

“Tidak,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights