DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempertahankan kenyataannya berhubung isu perjudian yang kemudiannya menyebabkan beliau terpaksa membayar saman RM120,000 kepada bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.
Menteri Besar Kedah itu di Facebooknya hari ini memuatnaik semula hantaran pada 2019 mengenai dakwaan pembukaan kedai judi di Kedah, namun semakan mendapati hantaran empat tahun lalu itu telah dipadamkan.
Menurutnya, sebagai ahli dan pimpinan beliau PAS serius dengan usaha membanteras kegiatan perjudian di Kedah.
Katanya sebaik mengambilalih kerajaan sejak 17 Mei 2020, maka satu langkah besar dibuat mulai tahun 2021-2022 untuk memberhenti pengeluaran lesen premis perjudian di seluruh Kedah, apabila lesen sedia ada tamat beransur-ansur dari 2021 sehingga Disember 2022.
“Mulai Januari 2023, tiada lagi premis perjudian berlesen di seluruh Kedah, selari dengan keseriusan PAS menghentikan kegiatan yang merosakkan seluruh masyarakat di negeri ini.
“Adapun jika didapati terdapat premis judi tanpa lesen (premis haram) wujud di mana-mana tempat di Kedah, pihak PDRM dan PBT telah dan akan melaksanakan operasi membanteras perjudian selari dengan peruntukan undang-undang.
“Inilah yang dimaksudkan dengan tidak main-main atau ambil mudah dengan judi. We walk the talk,” tulisnya.
Tambah Muhammad Sanusi, apabila sudah didapati bersalah dengan hantaran tersebut, menjadi tanggungjawabnya untuk melunaskan tuntutan dan akan berusaha membayar berapa pun harganya.
“Mengambil mudah atau mengendurkan tekad perjuangan hanya kerana kepentingan politik, takut hilang sokongan atau membiarkan rakyat negeri ini terjebak menjadi kaki judi, tidaklah sekali sekali,” katanya.
Semalam media melaporkan Muhammad Sanusi gagal dalam rayuan hukuman saman fitnah dikemukakan Mahfuz.
Malah Mahkamah Rayuan membenarkan bayaran saman yang dijatuhi terhadap Muhammad Sanusi dinaikkan daripada RM50,000 menjadi RM120,000.
Mahkamah Tinggi pada November 2021 memerintahkan Muhammad Sanusi membayar ganti rugi RM50,000 kepada bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Satu hantaran Facebook Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS pada Julai 2019 telah menerbitkan kenyataan berunsur fitnah kepada Mahfuz.
Muhammad Sanusi mengaitkan Pengerusi Pakatan Harapan Kedah itu dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan tersebut.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu turut menerbitkan video bantahan penduduk yang memaparkan sepanduk tertera nama plaintif. – Malaysiapost