ANGGOTA Dewan Rakyat diingatkan agar menghentikan berbahas perkara yang mengaibkan sekali gus melemparkan tuduhan jelik kepada ahli dewan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul menasihatkan dengan tegas supaya para Ahli Parlimen menghindarkan budaya tuduh menuduh ketika berbahas.
Malah, Johari membangkit persoalan di Dewan Rakyat mengenai hukum seseorang menuduh orang lain melakukan perbuatan jelik tanpa dilihat dengan mata sendiri.
“Saya ingin menasihati ahli-ahli yang berhormat khususnya orang Islam…kita tahu apa hukum menuduh orang tanpa melihat sendiri apa yang berlaku.
“Jadi, saya haraplah yang berhormat orang Islam, dalam ini orang Islam, anak-anak yang menonton TV pun orang Islam.
“Jadi apa hukumnya kalau kita tidak melihat perkara itu dengan mata kepala kita…janganlah kita ulangi,” katanya di Dewan Rakyat pada sesi pagi tadi.
Johari berkata demikian sebagai maklum balas terhadap pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai keputusan Speaker terhadap Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Pn-Besut) yang didakwa sering menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai peliwat.
Menjelaskan mengenainya, Johari menegaskan, perkataan tersebut seringkali diulang-ulang dalam dewan dan ia satu perkara yang serius.
“Saya ingin mendapatkan pandangan, perkara ini sering disebut oleh Besut…boleh dengar melalui hansard.
“Saya harap ini perlu dijadikan panduan…jangan main-main kerana perkara ini adalah serius kerana ingin mengaibkan ahli Dewan Rakyat ini,” katanya.
Sebelum ini, Che Mohamad Zulkifly didakwa mengeluarkan kenyataan berhubung kes liwat yang merujuk Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun.
Akibat daripada kenyataannya itu Che Mohamad Zulkifly diarah keluar dewan kerana didakwa menghina Anwar. – Malaysiapost