Tak hadir sesi PMQ, ini alasan pembangkang

CARA pengendalian pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQ) menjadi alasan Datuk Wan Saiful Wan Jan mempertahankan tindakan tiga pemimpin tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang terus ‘ponteng’ sesi berkenaan, hari ini.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menjawab kenyataan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang mempersoal sikap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) dan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) kerana gagal memanfaatkan sesi PMQ di Dewan Rakyat, pagi tadi.

“Rakan saya YB Fahmi Fadzil cuba memberi gambaran yang silap mengenai sesi soal jawab di Dewan Rakyat. YB Fahmi berkata:

“Untuk pengetahuan semua, sebenarnya semasa slot Pertanyaan Perdana Menteri, hanya MP yang disebut oleh Speaker saja boleh bertanya soalan.

“Yang lain-lain tak boleh bertanya apa-apa. Dan Speaker hanya benarkan satu soalan tambahan daripada penyoal asal, serta satu lagi soalan tambahan dari pihak satu lagi,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Bekas Ketua Penerangan Bersatu itu menyeru Fahmi agar tidak ‘spin’ sesi PMQ ke arah persepsi yang salah.

“Maksudnya, kalau giliran saya tanya soalan asal, hanya saya saja dari sebelah PN boleh tanya satu soalan tambahan, dan hanya seorang lagi dari kerajaan boleh tanya satu soalan selepas soalan saya. MP lain tak boleh.

“Jadi janganlah beri gambaran seolah-olah dalam slot Pertanyaan Perdana Menteri ini, Ketua Pembangkang atau Ketua Parti boleh turut serta dalam tanya soalan. Tak boleh pun sebenarnya. Jangan spin ke arah persepsi yang salah,” katanya.

Wan Saiful turut mengkritik Perdana Menteri berhubung cara penyampaian beliau yang masih meleret-leret selain mengelak untuk memberi jawapan penuh ketika sesi PMQ.

“Tambahan lagi, setakat saya lihat, Perdana Menteri banyak mengelak dari beri jawapan penuh atau Perdana Menteri tak tahu jawapan penuh.

“Banyak yang meleret-leret tanpa fakta tuntas. Ada masa sebut nama Akta pun tak jelas. Ayat pun kadang kadang cacamerba.

“Jadi, sebenarnya yang perlu diberi perhatian ialah kualiti jawapan daripada Perdana Menteri. Kalau kualiti jawapan Perdana Menteri rendah, maka minat orang nak mendengar pun pasti rendah,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights