Tular Zarina Zainuddin meninggal dunia tak benar
DALAM kesibukan menjalani penggambaran drama, pelakon Zarina Zainuddin dikejutkan dengan laporan berita menyatakan beliau sudah meninggal dunia.
Menerusi kemaskini terbaharu di Instagram, Zarina, 52, memaklumkan beliau sihat dan sedang sibuk menjalani penggambaran.
“Assalamualaikum. Saya tengah ‘shooting’ drama Bukan Puteri Lindungan Bulan untuk Samarinda Ramadan 2023. Pagi ini dapat berita begini.
“Tolong doakan semoga saya panjang umur dan murah rezeki,” tulisnya dalam hantaran itu.
Menerusi perkongsian sama, Zarina memuat naik tangkap layar sebuah hantaran blog yang menulis tajuk memaklumkan dirinya sudah meninggal dunia.
“Innalilahi, khabar duka dari aktres Zarina Zainuddin hari ini telah meninggal dunia,” tulis blog tersebut berserta gambar Zarina dengan surah al-Fatihah.
Perkongsian pelakon itu mengundang simpati ramai pengikut dan rakan pelakon yang berasa sakit hati dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak terlibat dalam menulis dan menyebarkan berita palsu.
“Astaghfirullahalazim,,biadapnya manusia zaman sekarang,” tulis pelakon Catrionabrianross.
Dalam berdepan fitnah itu, yang lebih meruntunkan hati Zarina apabila mengenangkan anak kembarnya, Raizal Azrai atau Azal yang kini berada di Singapura.
Azal berada di Compas One, Sengkang Square, Singapura kerana membantu menjaga kedai jualan pulut kuning yang diusahakannya.
“Semoga Azal tabah dan kuat berada di Singapura,” tulis Zarina. – Malaysiapost