Ada harapan selamatkan rumah tangga Farid, Diana – peguam
”FOKUS pihak kami mahu selamatkan rumah tangga,” kata peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili pelakon Farid Kamil.
Peguam itu memberitahu pemberita, arahan diterima daripada anak guamnya adalah untuk menyelamatkan rumah tangga beliau dan Diana Danielle supaya dua anak-anak mereka tidak terpisah dengan ibu bapa.
Sementara itu, peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Diana Danielle selaku pemohon, berkata anak guam dan Farid Kamil (responden) telah maklumkan kepada Hakim Syarie Zulfikri Yasoa. bahawa mereka mahu ambil inisiatif untuk penyelesaian bagi kesemua isu.
“Nampaknya, ada harapan sebab pihak Farid Kamil juga sudah menyatakan kesediaan untuk berbincang dalam proses Sulh (proses penyelesaian pertikaian secara alternatif) yang ditetapkan pada 11 April ini,” katanya.
Akberdin berkata, pihak-pihak akan memaklumkan kepada mahkamah jika terdapat sebarang penyelesaian berhubung permohonan itu, selain perlu memfailkan afidavit masing-masing.
Peguam itu memaklumkan, mahkamah turut melanjutkan hadanah interim ex-parte (hak penjagaan sementara sebelah pihak) kepada Diana Danielle atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 32, sehingga 30 Mei depan.
Kedua-dua peguam syarie itu berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding kes sebutan isu hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.
Dalam prosiding itu, mahkamah menetapkan 30 Mei depan untuk sebutan inter-parte (dua belah pihak) pasangan terbabit berhubung hak penjagaan sementara dua anak mereka yang berusia 10 dan lapan tahun.
Pada 24 Mac lepas, Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan Diana Danielle memperoleh hak penjagaan sementara bagi dua anaknya.
Diana memfailkan permohonan cerai pada 10 Mac lepas terhadap suaminya, atas alasan, tiada persefahaman dan berlakunya shiqaq atau perbalahan berpanjangan.
Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai tersebut. – Malaysiapost
Kredit foto: Mstar