Agong, Raja Permaisuri kunjungi Bazar Ramadan Peringgit

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meluangkan masa berangkat mengunjungi Bazar Ramadan Peringgit, Melaka,hari ini.

Kunjungan itu sempena lawatan dua hari Baginda berdua ke Melaka, bermula hari ini.

Dalam hantaran di laman Facebook rasmi Istana Negara, memaklumkan keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada jam 4.45 petang disambut oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim dan barisan exco kerajaan negeri Melaka.

Bazar Ramadan Peringgit menempatkan sejumlah lebih 100 gerai yang menawarkan pelbagai juadah kuih-muih, lauk-pauk serta minuman untuk berbuka puasa.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berdua berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) pada jam 12 tengah hari disambut oleh Mohd Ali dan isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman.

Ketua Menteri Melaka bersama isteri Datin Seri Zuriyah Abd Aziz, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari serta barisan Exco turut menyambut ketibaan Seri Paduka Baginda berdua.

Seri Paduka Baginda berdua dijadual berangkat melawat Bazar Ramadan Peringgit, selain turut berkenan menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Masjid Ar-Razak, Bachang, seterusnya berbuka puasa bersama rakyat. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights