Anwar rayu kerajaan negeri, PBT percepat proses pelaburan dari China

KERAJAAN negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terbabit dalam projek pelaburan dari China dirayu supaya mempercepatkan dan memudahkan sebarang proses berkaitan projek berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Jemaah Menteri yang bermesyuarat hari ini memutuskan supaya tindakan diambil susulan daripada keputusan syarikat-syarikat besar dan gergasi dari China untuk melabur di negara ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau sendiri akan mempengerusikan satu mesyuarat khas supaya tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan segera dan lebih berkesan.

“Bila ia membabitkan kerajaan negeri dan jika keadaan mendesak, saya sendiri akan turun untuk berbincang dengan kerajaan-kerajaan negeri terutama yang menerima sumbangan pelaburan yang besar daripada negara China.

“Saya juga merayu kerajaan negeri berkaitan dan majlis-majlis perbandaran harus memastikan proses itu dipercepatkan supaya tidak menjadi masalah kepada syarikat terbabit,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet, di Putrajaya, hari ini.

Beliau bagaimanapun, menekankan supaya peraturan harus dipatuhi sepenuhnya dan semua kajian harus selesai, tetapi jangan mengambil masa terlalu panjang kerana negara perlu memacu pelaburan yang lebih rancak.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, dua syarikat pelabur terbesar China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) dan syarikat petrokimia Rongsheng Petrochemical Co Ltd (RPCL) akan mengunjungi Malaysia pada Mei ini.

“Berita baik ialah projek awal (kerja awalan) akan dimulakan dalam masa singkat, saya jangka selewat-lewatnya Mei ini dan ini akan memberi impak selain MoU, iaitu pelaksanaan itu dapat disegerakan,” katanya.

Ditanya lokasi pelaburan dua syarikat terbabit, Perdana Menteri berkata, Geely membabitkan pelaburan di Pahang dan Tanjung Malim, Perak manakala RPCL di Terengganu dan Pengerang, Johor.

Anwar ketika lawatan rasmi ke China baru-baru ini, memaklumkan 19 memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM170 bilion berjaya dimeterai antara syarikat Malaysia dengan China. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights