AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, diumumkan sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang baharu hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pelantikan bekas Ahli Parlimen Baling itu bagi menggantikan Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang memegang jawatan itu sebelum ini.

“Dahulu KEDA di bawah Jamil Khir dan kerajaan memutuskan jawatan ini diberikan kepada Abdul Azeez.
“Pelantikan ini diharap dapat mengeratkan jalinan agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan kerajaan negeri,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau Yang juga Presiden Umno dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikan ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan KKDW di Masjid Al-A’la, Jitra, Kedah hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu dilaksana tanpa mengira pendirian politik parti masing-masing.
Katanya, semua itu demi memastikan permasalahan rakyat dapat diselesaikan segera termasuk yang berlaku di negeri pembangkang.
“Saya yakin ini bukan soal politik, tetapi dasar kerjasama yang bukan retorik. Jika ada jurang sekalipun, kita perlu usahakan untuk merapatkan jurang itu.
“Rakyat mesti merasai sesuatu projek yang dibawa, semua keberhasilan yang dilaksanakan perlu menepati tanda aras kepuasan pelaksanaan di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama itu juga diharap dapat diteruskan tanpa mengira apa juga keputusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid menyampaikan bantuan kepada lima peserta pertanian dan usahawan KEDA berjumlah RM41,678 dan dua peserta dari Projek Inisiatif Peningkatan Usahawan Terampil bernilai RM28,426. – Malaysiapost