Bakal haji wajib ambil vaksin Covid-19, vaksin Meningococcal – KKM

JEMAAH haji perlu mengambil suntikan vaksin Meningococcal Meningitis dan vaksin Covid-19 bagi mengekang penularan penyakit meningokokus yang pernah berlaku pada tahun 2001 dan 2012.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan, memaklumkan pengambilan dos pertama, kedua dan dos penggalak bagi vaksin Covid-19 juga diwajibkan bagi jemaah haji.

Katanya, jemaah haji wajib mendapatkan suntikan vaksin Meningococcal selewat-lewatnya 10 hari sebelum tarikh penerbangan dan suntikan tersebut sah tiga hingga lima tahun.

“Jemaah haji juga digalakkan mengambil vaksin Pneumococcal dan vaksin Influenza yang boleh mengakibatkan radang paru-paru yang juga merupakan penyebab utama kemasukan ke hospital dan kematian di kalangan para jemaah haji,” menurut KKM dalam satu hantaran di Facebook rasminya.

Menerusi infografik yang dimuat naik dalam hantaran itu, KKM amat menggalakkan pengambilan suntikan vaksin Pneumococcal dan vaksin Influenza bagi jemaah haji berusia 50 tahun dan ke atas.

Selain itu, ia juga disarankan bagi jemaah haji yang merokok, mempunyai penyakit sistem pernafasan seperti penyakit asma dan COPD, serta menghidap penyakit kronik seperti diabetes; penyakit jantung; buah pinggang; neulogi, dan obesiti. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights