“INI bukan kira menang kalah, kita nak (keputusan) adil untuk anak-anak.”
Demikian kata-kata Diana Danielle, 32, berhubung sebutan kes hadanah iaitu hak penjagaan dua anaknya, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8, di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, hari ini.
Pelakon filem Magika itu bagaimanapun enggan mengulas secara terperinci mengenai prosiding hari ini, dan berharap urusan penjagaan anak dapat diselesaikan mengikut cara yang baik.
“Alhamdulillah, hari ini berjalan dengan baik dan saya tidaklah mahu bercakap secara terperinci. Doakan yang terbaik dan diharapkan kita dapat jalan penyelesaian,” katanya kepada media di luar pekarangan mahkamah.
Sementara itu, Peguam Syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Diana berkata, hak penjagaan sementara yang diberikan kepada Diana dilanjutkan sampai 30 Mei.
“Peguam kedua-dua pihak sudah mengambil inisiatif untuk menyelesaikan melalui mahkamah semua isu berkaitan mereka berdua. Nampaknya ada harapan sebab pihak sebelah lagi memberi kemahuan untuk berbincang.
“Jadi kami ada proses sulh pada 11 April depan, tapi sebelum itu Insya-Allah kami akan berbincang dan kami akan rekod kalau ada persetujuan. Selepas itu, kami teruskan untuk membubarkan perkahwinan di Mahkamah Petaling Jaya.
“Sekarang ini hak penjagaan interim masih di lagi di bawah Diana, dan tadi hakim sudah bagi lanjutan hak penjagaan sampai 30 Mei. Kalau ada persetujuan lebih awal, kita akan mohon kepada mahkamah supaya kita boleh rekod dan bubarkan perlahwinan dengan cepat,” katanya.
Hari ini, Farid dan Diana hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam dengan harapan mendapat keadilan bagi sebutan kes hadanah iaitu penjagaan bagi dua anak mereka.
Pada 28 Mac lalu, mahkamah mengeluarkan perintah hak penjagaan sementara dua anak diberikan kepada Diana.
Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Alasan diberikan Diana adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.
Sehubungan itu, Hakim Syarie Shukram Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan konflik rumah tangga mereka. – Malaysiapost