Ibnor Riza kongsi foto terkini selepas kimoterapi

PENYANYI Ibnor Riza, yang kini menjalani rawatan kimoterapi akibat kanser limfoma tahap empat mengakui doa peminat memberinya semangat untuk terus melawan penyakit.

Berkongsi foto terkini di Instagram (IG), Ibnor mengucapkan terima kasih atas keprihatinan dan sokongan semua sepanjang disahkan menghidap penyakit itu.

“Allahuakbar, terima kasih atas keprihatinan semua semoga Allah membalas segala kebaikan.

“Sokongan saudaraku semua buat saya terus semangat untuk berjuang melawan penyakit ini,” tulisnya.

Penyanyi berusia 62 tahun itu berharap segera sihat supaya beliau dapat bekerja membantu keluarganya.

“Saya mahu sihat dan bekerja untuk keluarga. Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar..terima kasih atas semua doa,” katanya.

Difahamkan Ibnor kini sedang menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban, Negeri Sembilan.

Sehingga hari ini, beliau sudah menjalani dua proses rawatan kimoterapi dengan berbaki enam sesi lagi.

Mac lalu, penyanyi kelahiran Batu Kikir, Negeri Sembilan itu mengesahkan menghidap kanser limfoma.

Sejak sakit, Ibnor terpaksa menolak sehingga 15 tawaran nyanyian dan bergantung hidup kepada wang simpanan serta bantuan dihulurkan persatuan seperti Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) dan Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM). – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights