LAPORAN siasatan nahas pesawat Sabah Air yang terhempas di perairan Sembulan pada 1976 dan mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu Tun Fuad Stephens bersama beberapa anggota Kabinet negeri akan didedahkan minggu depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata laporan itu telah dinyah klasifikasi mengikut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) dan akan didedahkan kepada umum
Menurutnya, laporan berhubung tragedi yang turut digelar ‘Double Six’ akan didedahkan selepas Jemaah Menteri mengambil kira pandangan rakyat Sabah selama bertahun-tahun dan juga tuntutan yang dibuat oleh keluarga.
“Ada satu isu yang panas terutama di Sabah yang sudah berlaku begitu lama yang terkait dengan siasatan kemalangan pesawat Sabah Air pada 6 Jun 1976 yang mengakibatkan kehilangan nyawa pemimpin-pemimpin utama Sabah.
“Isu ini telah banyak menimbulkan persoalan dan keresahan kerana setelah 47 tahun dan tuntutan daripada rakyat Sabah adalah untuk mengetahui apa hasil daripada pasukan penyiasat kemalangan tersebut,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet, di Putrajaya, hari ini.
Hadir sama dalam sidang media itu Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali
Anwar berkata, pendedahan kepada umum berhubung laporan tersebut juga adalah selari dengan dasar keterbukaan dan ketelusan yang diamalkan oleh Kerajaan Perpaduan.
“Selama ini, kerajaan tidak memutuskan untuk menghebahkan, menzahirkan atau diturun taraf untuk dinyah klasifikasikan.
“Pada hari ini Jemaah Menteri mengambil kira pandangan yang dikemukakan oleh rakyat Sabah selama bertahun-tahun dan juga tuntutan yang dibuat oleh keluarga yang menginginkan maklumat terperinci,” katanya.
Beliau berkata, laporan akhir siasatan kemalangan udara itu akan dihebahkan kepada umum pada minggu depan melalui kenyataan rasmi kerajaan dan Kementerian Pengangkutan.
Dalam kejadian tersebut, pesawat Nomad 9M-ATZ keluaran Australia yang dikendalikan Sabah Air membawa rombongan pemimpin Sabah dari Labuan terhempas di daerah Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah.
Pada 8 Mac lalu, media melaporkan Mahkamah Tinggi di Sabah memerintahkan Putrajaya mengambil langkah perlu untuk dinyah klasifikasi berhubung insiden tersebut. – Malaysiapost