KETUA Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri agar orang Melayu jangan angkuh.
Menteri Besar Kedah itu turut bertanya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim Melayu mana yang selesa dan bersikap angkuh seperti dinyatakan Presiden PKR itu semalam.
“Melayu mana yang selesa dan angkuh tu? Bila Melayu angkuh? Takkan kena ambil Kemboja sebagai model?
“Cuba baca balik sejarah – daripada 2 juta nyawa yang dibunuh dalam kekejaman regim Pol Pot, siapa paling ramai? Selepas itu mereka melunak… Baca lahhh,” soal Muhammad Sanusi di Facebooknya.
Semalam Anwar dilaporkan berkata, sebagai kaum majoriti, orang Melayu Islam perlu mengambil pengajaran daripada pentadbiran Kemboja yang meraikan kaum minoriti di negara mereka.
Perdana Menteri berkata, kaum Melayu Islam di negara ini diingatkan tidak terlalu selesa dan angkuh sehingga meminggirkan kelompok yang lain.
“Kemboja adalah negara yang majoritinya dianuti oleh masyarakat Buddha tetap meraikan sekumpulan minoriti Islam yang hanya 10 peratus dengan mengadakan program iftar serta melantik menteri Islam,” katanya. – Malaysiapost