Najib hairan Ketua Hakim, SPRM ‘kunci mulut’ surat tular SPRM

Najib hairan Ketua Hakim, SPRM ‘kunci mulut’ surat tular SPRM

DATUK Seri Najib Razak hairan Ketua Hakim Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus mengunci mulut berhubung surat tular didakwa laporan berkaitan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, sehingga kini masih tiada sebarang penafian atau pengesahan mengenai surat didakwa laporan penuh siasatan SPRM berhubung salah laku membabitkan seorang hakim.

“Adalah sangat luar biasa apabila Ketua Hakim Negara dan SPRM masih belum mengesahkan atau menafikan biarpun berita penularan surat serta laporan terhadap hakim Nazlan telah dilaporkan menerusi media sejak empat hari lalu.

“Ini bukan sebarang surat tetapi surat yang disyaki daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM kepada Ketua Hakim Negara yang melibatkan salah laku seorang hakim Mahkamah Rayuan,” tulis pengendali Facebook Najib Razak hari ini.

Najib berkata, sekurang-kurangnya perlu ada pengesahan dan siasatan bagaimana surat berkenaan boleh terdedah sekiranya ia sah.

“Sebaliknya, perlu ada penafian dan siasatan untuk mencari pihak-pihak yang menggunakan nama Ketua SPRM dan Ketua Hakim untuk memalsukan surat sekiranya ianya adalah palsu,”katanya.

Sebelum ini, surat didakwa berkaitan laporan SPRM terhadap Mohd Nazlan, berhubung pelanggaran peraturan di bawah Kod Etika Hakim 2009, telah tular di media sosial.

Surat dipercayai daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat itu bertarikh pada 20 Februari lalu.

Laporan itu dipercayai telah diterima Tengku Maimun sebelum semakan sabitan dan hukuman terhadap Najib dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta, Jumaat lalu.

Menurut laporan itu, SPRM pada Februari lalu memaklumkan satu laporan terhadap Mohd Nazlan sudah dikemukakan kepada Ketua Hakim Negara berhubung pelanggaran peraturan di bawah Kod Etika Hakim 2009.

Berdasarkan maklumat salinan dokumen tersebut, Ketua Pesuruhjaya SPRM mengesyorkan kepada Ketua Hakim Negara mengambil tindakan tatatertib terhadap Mohd Nazlan. – Malaysiapost

Komen