SEORANG lelaki maut apabila lori dipandunya terjatuh ke dalam laut dengan kedalaman 11 meter di Terminal Maritim Lumut, Sitiawan, Perak, awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada jam 5.30 pagi mengenai insiden lori terjatuh ke dalam laut.
Menurutnya, anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan telah ke lokasi kejadian sebaik panggilan diterima dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) daripada BBP Pulau Pangkor turut digerakkan ke lokasi.
“Komander Operasi, Mohd Azizi Zakaria melaporkan terdapat sebuah lori muatan 10 tan telah terjatuh ke dalam laut dengan anggaran kedalaman 11 meter dan seorang lelaki berusia 20-an berada di dalam lori tersebut.

“Maklumat daripada penyelam pelabuhan itu, telah mengesahkan terdapat hanya seorang sahaja mangsa di dalam kenderaan tersebut.
“Kapal yang berdekatan dengan pelabuhan telah ditarik bagi memudahkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, dua unit kren daripada pelabuhan tersebut telah digunakan untuk membawa naik lori ke tebing pelabuhan.

“Mangsa akhirnya berjaya di bawa naik pada jam 9.45 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Setelah selesai, operasi ditamatkan pada jam 10.13 pagi,” katanya. – Malaysiapost