Pencerobohan Al-Aqsa: Klinik sumbangan rakyat Malaysia antara yang rosak

Pencerobohan Al-Aqsa: Klinik sumbangan rakyat Malaysia antara yang rosak

KLINIK Lapangan di Masjid Al-Aqsa, Baitulmuqaddis hasil sumbangan rakyat Malaysia antara yang rosak teruk akibat keganasan rejim zionis dalam serangan dan pencerobohan terbaru Israel terhadap Palestin , hari ini.

Badan bukan kerajaan (NGO) MyAqsa Defenders yang menyelia sumbangan klinik berkenaan, memaklumkan mengenai situasi berkenaan dalam satu kenyataan media.

Menurut kenyataan itu, polis dan tentera Israel bertindak biadab dan zalim apabila menggempur serta mencemari kesucian Masjid Al-Aqsa dengan memukul penduduk dan merosakkan beberapa fasiliti utama di kawasan masjid.

“Menurut Palestine Red Crescent Society, tindakan tidak berperikemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa ini telah mengakibatkan tujuh rakyat Palestin cedera parah, ratusan yang lain cedera dan lebih 400 turut ditangkap.

“Berita terkini daripada rakan NGO kami di lokasi juga memaklumkan Klinik Lapangan di Masjid Al-Aqsa hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui MyAqsa Defenders pada 2021 rosak teruk akibat keganasan rejim zionis,” menurut kenyataan itu, malam ini.

MyAqsa Defenders memaklumkan, selain itu rejim zionis juga bertindak menutup pintu-pintu masuk ke Masjid Al-Aqsa bagi menghalang rakyat Palestin beriktikaf dan pasukan paramedik untuk merawat mangsa yang cedera dan hal itu menambahkan ketegangan yang berlaku.

“Episod keganasan kali ini berkait rapat dengan perayaan Yahudi Passover (Paskah) yang disambut oleh Israel dan dijadualkan bermula 5 April dan akan berlangsung selama tujuh hari.

“Kemuncaknya adalah perarakan besar-besaran yang akan berlangsung sekitar Masjid Al-Aqsa,” katanya.

Menurutnya, sejak awal tahun ini situasi di Tebing Barat juga berada di tahap sangat genting apabila rejim zionis menggempur Jenin, Nablus dan beberapa bandar utama serta melaksanakan beberapa siri pembunuhan dan penangkapan pemuda Palestin.

“Sehingga kini seramai lebih 90 rakyat Palestin terbunuh sejak awal 2023, menjadikannya antara tahun paling berdarah buat Palestin.

“Kami sentiasa berkomunikasi dan melaporkan daripada rakan-rakan NGO serta media di Palestin melalui medium media sosial. Menurut rakan NGO pelaksana kami di Al-Quds, antara keperluan utama ketika ini ialah bantuan baik pulih klinik lapangan dan bantuan kewangan kepada keluarga yang cedera,” katanya.

MyAqsa Defenders menggesa agar kerajaan Malaysia mengeluarkan kenyataan segera mengutuk tindakan biadap rejim zionis ini dan mengangkat isu ini di Parlimen serta memanfaatkan platform antarabangsa agar mendapat perhatian semua pihak. – Malaysiapost

Komen