SEORANG pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas dakwaan menawarkan rasuah RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur (Menara KL).
Pengarah Hydroshoppe Sdn Bhd, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, 49, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Suzana Hussain.
Abdul Hamid didakwa menawarkan suapan itu kepada Datuk Tan Ser Lay, 60, sebagai dorongan kepada bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Tan Sri Annuar Musa melakukan suatu perkara dicadangkan iaitu mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL oleh Hydroshoppe Sdn Bhd.
Bagi kesalahan itu, Abdul Hamid didakwa mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 (Akta 694 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Di mahkamah berasingan di hadapan Hakim Rozina Ayob, Hydroshoppe yang diwakili tertuduh sebagai pengarah, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah.
Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan kerana seseorang yang bersekutu dengannya iaitu Abdul Hamid secara rasuah menawarkan suapan berkenaan bagi tujuan sama.
Kesalahan itu adalah mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 17A(2) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM1 juta mengikut mana yang lebih tinggi atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kedua-dua kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Lot 4G9, Persiaran Perdana, Presint 4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara Julai dan Ogos 2022.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, menawarkan wang jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dengan syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap dua bulan.
Tawaran jaminan dan syarat tambahan itu dibenarkan oleh kedua-dua hakim dan menetapkan 2 Jun ini bagi sebutan semula kes.
Abdul Hamid dan syarikat itu diwakili peguam Shu Ivy. – Malaysiapost