Sindiket pengurup wang haram warga asing tumpas

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan rangkaian sindiket pengurup wang haram yang didalangi warga asing dalam operasi khas yang dijalankan pada 2 dan 3 April lalu di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh, berkata operasi itu dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyerbu 10 premis disyaki menjalankan aktiviti pengurup wang haram.

Menurutnya, aktiviti berkenaan dikendalikan tanpa lesen oleh warga asing yang terdiri daripada warga negara Bangladesh, India dan Indonesia.

“Seramai 29 orang warga asing telah ditahan dalam operasi ini. Mereka terdiri daripada 11 lelaki warga Bangladesh, lima lelaki warga India, lapan lelaki warga Indonesia serta dua wanita warga Indonesia berusia antara 26 hingga 40 tahun.

“Mereka yang ditahan dipercayai berperanan sebagai orang tengah dan menguruskan kiriman wang ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tiga dalang utama sindiket berkenaan membabitkan masing-masing seorang lelaki warga India, lelaki warga Indonesia dan lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun ditahan di tiga lokasi berlainan.

Menurutnya, ketiga-tiga dalang berkenaan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

“Modus operandi sindiket adalah beroperasi di restoran, kedai runcit, kedai kosmetik dan kiosk menjual peralatan elektronik bagi menutup jejak sebenar aktiviti pengurup wang tanpa lesen daripada dikesan pihak berkuasa.

“Sindiket ini mengenakan bayaran yang murah bagi menguruskan kiriman wang keluar negara,” katanya.

Ruslin berkata, pasukan operasi turut merampas wang tunai berjumlah RM300,527 yang disyaki hasil aktiviti pengurup wang, telefon bimbit, buku dan dokumen rekod kiriman wang ke luar negara seperti Bangladesh dan Indonesia.

Menurutnya, berdasarkan jumlah wang tunai yang dirampas, sindiket berkenaan dianggarkan mampu menguruskan kiriman wang keluar negara mencecah RM108 juta setahun.

“Kes kini disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Mereka semua ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights