Zahid puji Kerajaan Perlis

KERAJAAN Perlis dipuji berikutan pentadbirannya yang sentiasa berdiplomatik dan berusaha menjalinkan kerjasama erat bersama Kerajaan Persekutuan meskipun berlainan ideologi politik.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan pusat menerusi agensi dan kementerian yang beroperasi di negeri itu sentiasa mahu menjalinkan hubungan baik dengan kerajaan negeri kerana rakyat harus diberi keutamaan dalam setiap agenda.

“Mana-mana pihak tidak seharusnya menggunakan platform majlis mahu pun mesyuarat bagi menyatakan ketidakpuasan hati mereka yang menjadikannya sebagai bahan kempen atau ceramah berbentuk penghinaan.

“Kita sebenarnya khuatir apabila tindakan sebegitu akan menjadikan jalinan hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan akan terencat.

“Bagaimanapun, saya puji di Perlis ini keadaan sebegitu tidak berlaku,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sentuhan Kasih Ramadan yang berlangsung di Pusat Kegiatan Masyarakat (Kemas) di Simpang Empat, di Kangar, hari ini.

Sementara itu, dalam majlis itu Ahmad Zahid turut mengambil kesempatan meraikan seramai 150 orang anak yatim terpilih dari seluruh negeri berkenaan.

Beliau turut menyampaikan sumbangan berupa kit Peralatan Quick Win kepada 60 peserta kemahiran.

Dalam ucapannya juga, beliau berkata, sebanyak lapan maahad tahfiz di seluruh negara ini dijadikan anak angkat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi menjalani Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Usaha ini adalah bagi membuka peluang kepada pelajar maahad tahfiz untuk terbabit secara langsung dalam bidang yang mempunyai potensi besar itu,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights