JABATAN Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan polis Israel yang menyerang dan menggunakan kekerasan terhadap rakyat Palestin dan jemaah yang berada di Masjid Al-Aqsa, hari ini.
Menterinya Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata tindakan rejim zionis yang menceroboh Masjid Al-Aqsa sehingga menyebabkan kecederaan awam adalah biadab serta amat tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata, tindakan tersebut berulang setiap tahun ketika umat Islam menjalani ibadah di bulan Ramadan.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru seluruh rakyat termasuk masyarakat dunia mengutuk tindakan Israel termasuk menggesa agar serangan dan kekerasan ke atas jemaah Al-Aqsa ini dihentikan.
“Masjid-masjid di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin telah diarah untuk melaksanakan solat hajat pada 6 April 2023,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga telah diminta untuk melaksanakan Solat Hajat pada tarikh yang sama.
“Bersempena bulan Ramadan Al-Mubarak ini, marilah bersama-sama kita mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kepada saudara-saudara kita di Palestin,” katanya. – Malaysiapos