Zionis ceroboh Masjid Al-Aqsa, serang Gaza

Zionis ceroboh Masjid Al-Aqsa, serang Gaza

REJIM zionis Israel sekali lagi menzalimi rakyat Palestin dan menyerang Masjid Al-Aqsa awal pagi tadi serta beberapa lokasi lain di Semenanjung Gaza sejak beberapa hari lalu.

Sejak tiga tahun lalu, setiap kali Ramadan, zionis kerap melakukan serangan termasuk bedilan roket menggunakan pesawat, selain menceroboh Masjid Al-Aqsa.

Seorang rakyat Malaysia yang menetap di Semenanjung Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzzaman atau lebih dikenali Nadir Al-Nuri, berkongsikan keganasan dan kekejaman Israel itu menerusi hantaran di Facebook dan Telegramnya.

Menurutnya, beliau difahamkan seramai 400 umat Islam ditahan dalam serangan dan pencerobohan terbaharu Israel terhadap Masjid Al-Aqsa.

“Polis penjajah dengan biadap menghalang solat sunat Dhuha didirikan di dalam kawasan Masjid Al-Aqsa. Mereka cuba mengosongkannya untuk memberi laluan kepada sambutan perayaan Passover Yahudi yang bermula hari ini.

“Penjajah mula menceroboh masuk ke dalam Masjid Al-Aqsa untuk perayaan Passover dengan perlindungan polis dan tentera Israel,” katanya.

Menurutnya, sebahagian kawasan Masjid Al-Aqsa di Musolla Qibli turut dilaporkan terbakar dan kekejaman zionis itu dapat disaksikan melalui beberapa video serangan yang dikongsikannya.

Nadir berkata, salah satu lokasi yang dibom di Bandar Gaza adalah kawasan berhampiran rumahnya.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) memberitahu pertempuran di antara penduduk Palestin dan tentera Israel kini merebak di lokasi lain.

“Pemuda dari seluruh bandar Palestin menyahut seruan mu’takifin dan keluar berarak menyatakan sokongan terhadap Masjid Al-Aqsa yang masih diserang sehingga kini.

“Pertempuran juga merebak di lokasi lain antara penduduk dan tentera penjajah,” katanya. – Malaysiapost

Komen