MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan pada 17 Mei ini untuk memutuskan permohonan parti Bersatu dalam mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pembekuan akaunnya.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan bagi pihak Jabatan Peguam Negara dan peguam Rosli Dahlan yang mewakili Bersatu.
Permohonan kebenaran semakan kehakiman itu difailkan Datuk Muhammad Suhaimi Yahya dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi pihak parti pada 8 Mac lalu.
Mereka menamakan 20 responden antaranya Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki; Pengarah Kanan Bahagian siasatan, Datuk Seri Hishamuddin Hashim; Pengarah bahagian pencegahan pengubahan wang haram Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin; dan bekas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud.
Pemohon mendakwa SPRM menyalahgunakan kuasa dengan menjalankan pendakwaan politik terpilih terhadap kepimpinan Bersatu, Perikatan Nasional (PN) atau Muhyiddin.
Mereka juga memohon perisytiharan bahawa suruhanjaya itu tidak boleh mengikut arahan pemimpin parti pemerintah yang berada dalam kerajaan atau mengikut arahan perdana menteri dan/atau timbalan perdana menteri dengan meminta pegawai SPRM memulakan siasatan terhadap Bersatu, menyebabkan keluarnya perintah pembekuan yang didakwa salah.
Sementara itu, Muhyiddin juga memohon perintah interim untuk membolehkan beliau bergerak bebas dan melakukan perjalanan ke luar negara tanpa sekatan.
Dalam hujahan membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman itu hari ini, Shamsul berkata perintah itu tidak boleh dicabar melalui permohonan semakan kehakiman di mana kuasa untuk mengeluarkan perintah berkenaan adalah salah satu mekanisme siasatan.
Menurut Shamsul, agensi penguatkuasaan undang-undang diberi kuasa untuk mengeluarkan perintah membekukan harta seseorang apabila memenuhi beberapa syarat.
Katanya, permohonan Bersatu harus ditolak kerana akaun bank berkenaan menjadi perkara dalam pertuduhan jenayah terhadap Muhyiddin, menjadikan sebarang aduan mengenainya berada
di bawah bidang kuasa mahkamah jenayah.
Ujarnya lagi, membenarkan permohonan itu akan membawa kepada campur tangan mahkamah sivil dalam melaksanakan kuasa penyeliaannya terhadap bidang kuasa mahkamah jenayah.
Sementara itu, Rosli berhujah bahawa perintah pembekuan akaun dan larangan perjalanan boleh dicabar dalam semakan kehakiman kerana isu yang dibangkitkan bukan remeh atau menyusahkan.
Peguam itu berkata, responden melakukan beberapa salah laku dari segi prosedur yang mewajarkan mahkamah mendengar merit permohonan itu antaranya perintah berkenaan bersandarkan niat jahat dan menyalahi undang-undang.
Katanya, perintah pembekuan akaun tidak pernah diserahkan kepada parti itu walaupun selepas pelbagai permohonan dikemukakan sebelum kebenaran semakan kehakiman difailkan.
Katanya, siasatan SPRM dilakukan semata-mata sebagai asas untuk mengeluarkan perintah pembekuan akaun dan larangan perjalanan terhadap Muhyiddin tidak disertai asas yang kukuh. – Malaysiapost