4 kanak-kanak cedera akibat main mercun

POLIS mengesahkan menerima laporan mengenai empat kanak-kanak berusia lapan hingga 13 tahun yang cedera akibat terkena letupan mercun yang dipercayai telah diubahsuai, di Kuala Nerus, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 10.58 malam daripada seorang lelaki berusia 25 tahun.

Menurutnya, lelaki terbabit mengatakan adik lelakinya cedera semasa bermain mercun bersama tiga lagi rakan adiknya berhampiran rumah mereka pada kira-kira jam 8.30 malam.

“Seorang daripada mangsa dikatakan menyalakan mercun yang telah diubahsuai lalu menyebabkan letupan yang kuat.

“Akibat daripada itu, empat kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan pada tubuh badan serta menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tiga daripada kanak-kanak terbabit telah mendapatkan rawatan pesakit luar, manakala seorang lagi masih menerima rawatan lanjut akibat kecederaan pada bahagian mata kanan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu kesalahan mengabaikan kanak-kanak yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000, atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Abdul Rahim menegaskan kepada orang ramai terutama ibu bapa supaya sentiasa memantau dan mengawasi segala aktiviti anak di bawah umur ketika bermain bunga api dan mercun pada musim perayaan.

“Pengabaian ibu bapa terhadap anak-anak juga adalah satu kesalahan yang membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap ibu bapa sekiranya berlaku kejadian yang sedemikian,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights