426.12 kg lebihan makanan bazar Ramadan diagih, elak pembaziran
USAHA murni menjaga alam sekitar dengan mengumpul lebihan makanan di di Bazar Ramadan USJ 4 Subang Jaya sesuatu inisiatif yang baik, sekali gus mengelak pembaziran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze, berkata kempen itu berjaya mengumpul 426.12 kilogram (kg) lebihan makanan daripada bazar tersebut.
Katanya, kempen yang diusahakan dengan kerjasama Syarikat What A Waste itu telah dilancarkan pada 29 Mac lalu.
Ujar beliau, program tersebut bertujuan bagi menjaga alam sekitar dan mengelakkan berlakunya pembaziran makanan dengan memberikannya kepada golongan memerlukan.
“Setakat ini sebanyak 426.12kg makanan dikumpulkan di mana pelepasan 1,065.30 kg gas rumah hijau dapat dielakkan.
“Ia petanda baik pembaziran makanan semakin berkurangan setiap hari, dalam sibuk membeli juadah di bazar jadikan kempen ini sebagai peringatan untuk kita memainkan peranan menyelamatkan alam sekitar,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Sementara itu, beliau berkata pada hari pertama program itu berlangsung, sebanyak 300 kg makanan berjaya dikumpul yang menghasilkan 702 kg karbon menerusi kempen terbabit.
Malah, katanya, pada 17 Mac, beliau mengumpul 177 kg lebihan makanan sepanjang tiga hari sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) berlangsung dengan kerjasama syarikat sama. – Malaysiapost