Aliah Qistina ditemukan selamat di Perak
SEORANG remaja perempuan yang dilaporkan hilang di Melaka sejak 17 Mac lalu, Aliah Qistina Budiyanto, 16, ditemukan selamat di rumah rakannya di Kampar, Perak, semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, remaja itu ditemukan dalam keadaan selamat pada jam 3.30 petang, semalam di sebuah pangsapuri rakannya berusia 20-an yang berasal dari Kulim, Kedah.
“Siasatan awal mendapati, pelajar tingkatan empat itu mengaku secara sukarela mengikut rakannya itu dan tinggal bersamanya sejak dilaporkan hilang pada 18 Mac lalu.
“Dia mengakui tidak dicederakan sepanjang tempoh itu, malah remaja lelaki berusia 20-an itu turut membantu polis sebelum gadis terbabit dibawa pulang ke IPD Jasin dan diambil ibu saudaranya semalam,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaGazette.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pihak polis bagaimanapun akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kes terbabit jika terdapat unsur kesalahan lain.
“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin mengucapkan terima kasih kepada IPD Kampar Perak dan orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat sepanjang kes ini disiasat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang peniaga nasi lemak, Noor Fatimahtul Zaharah Talib, 41, buntu mengenai kehilangan anak sulungnya itu secara misteri sejak malam 17 Mac lalu.
Sebelum kehilangan Aliah Qistina pada malam itu, keluarganya mendakwa terdengar ketukan pintu yang sangat kuat dari arah pintu dapur, namun tiada individu kelihatan sebelum mereka terlena secara tiba-tiba.
Mereka kemudian tersedar terhidu wangian yang sangat pekat dan ketika itu, Alia disedari sudah hilang dari rumah tanpa sebarang petunjuk. – Malaysiapost
Foto Kredit MalaysiaGazette