Anwar tak goyang dengan tuntutan Tun M – Syed Badli Shah

TINDAKAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mohon diberi masa lanjut untuk menjawab notis tuntutan Tun Dr Mahathir Mohamad bukan kerana Presiden PKR itu takut.

Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman berkata ketika tempoh tujuh hari diberikan Dr Mahathir bermula 28 Mac lalu, Anwar sibuk menjalankan tugas Perdana Menteri.

Katanya, bermula 30 Mac lalu, Perdana Menteri telah memulakan lawatan rasmi selama empat hari ke China.

“Kau rasa dia cukup masa nak layan tuntutan tu? Itu pasal dia minta tempoh. Tempoh untuk dia bersedia bagi menjawab semua tuntutan.

“Kau rasa dia nak lari? DSAI takkan menembak kalau dia tak cukup peluru.

“Sebenarnya DSAI ini dah biasa keluar masuk penjara, turun naik mahkamah, dipukul, dihina dan diaib. Kau rasa setakat tuntutan yang Mahathir minta ni buat dia goyang ke. Haha.. Jangan buat lawak,” tulisnya di Facebook.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan pihak tertentu yang mendakwa Anwar takut untuk berdepan notis tuntutan Dr Mahathir sehingga terpaksa memohon diberi masa lanjut untuk menjawab.

Selasa lalu media melaporkan, Anwar memohon diberi masa lanjut untuk menjawab notis tuntutan Dr Mahathir yang menuntut beliau menarik semula kenyataan yang didakwa memfitnah pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 bulan lalu.

Dalam notis bertarikh 27 Mac lalu, Dr Mahathir menuntut Anwar menarik semula kenyataan fitnah dibuat ketika kongres pada 18 Mac yang mendakwa bekas Perdana Menteri itu membolot hasil kekayaan untuk diri dan keluarga ketika berkhidmat.

Dr Mahathir juga memberi tempoh tujuh hari kepada Anwar untuk menjawab notis tersebut.

Menurut firma guaman Tetuan Rafique yang mewakili Dr Mahathir melalui kenyataan Selasa lalu, pihaknya menerima pemakluman daripada peguam cara Anwar, iaitu Tetuan Thomas Phillip bahawa mereka memohon masa sehingga 17 April ini untuk menjawab notis tuntutan berkenaan.

Firma guaman itu berkata, anak guamnya tiada halangan kepada permintaan itu dan merizabkan segala hak beliau dalam tuntutan tersebut. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights