BANTUAN Khas Kewangan Aidilfitri kepada 3.5 juta penerima akan mula disalurkan pada 17 April ini, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata bantuan khas melibatkan peruntukan RM1.572 bilion itu disalur kepada penjawat awam, pesara kerajaan, pesawah, pekebun kecil getah dan nelayan.
Katanya, turut tersenarai ialah anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM), sukarelawan polis dan bomba.
“Penjawat awam akan menerima RM700 dengan peruntukan RM988 juta melibatkan 1.4 juta penerima manakala sejuta pesara kerajaan akan menerima RM350 dengan peruntukan RM350 juta,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.
Ahmad berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM170 juta kepada 850,000 pesawah, pekebun kecil getah dan nelayan yang akan menerima RM200 seorang.
Katanya, 213,000 anggota RELA, sukarelawan APM, sukarelawan polis dan bomba bakal menerima RM300 dengan peruntukan berjumlah RM64 juta.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan empat inisiatif tambahan dalam Belanjawan 2023, antaranya bantuan Aidilfitri. – Malaysiapost