Bila masa Melayu angkuh?

AHLI Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri yang mengingatkan orang Melayu jangan angkuh.

Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu juga menegaskan orang Melayu di negara ini tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum minoriti yang lain.

“Bila masa Melayu angkuh? Bila masa kita pinggirkan kaum Minoriti?

“Ini kenyataan yang zalim ke atas bangsa Melayu bilamana kita telah berkongsi dan berkorban banyak perkara dalam membina Malaysia bersama kaum lain,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Kelmarin Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, sebagai kaum majoriti, orang Melayu Islam perlu mengambil pengajaran daripada pentadbiran Kemboja yang meraikan kaum minoriti di negara mereka.

Perdana Menteri berkata, kaum Melayu Islam di negara ini diingatkan tidak terlalu selesa dan angkuh sehingga meminggirkan kelompok yang lain.

“Kemboja adalah negara yang majoritinya dianuti masyarakat Buddha tetap meraikan sekumpulan minoriti Islam yang hanya 10 peratus dengan mengadakan program iftar serta melantik menteri Islam,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights