Buka ruang rundingan tuntutan Laut China Selatan ancaman kedaulatan negara – Muhyiddin

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat satu kenyataan cuai apabila memaklumkan Dewan Rakyat bahawa kerajaan boleh membuka ruang rundingan dengan China berhubung tuntutan bertindih di Laut China Selatan.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, berkata kenyataan itu secara tidak langsung telah memperakui tuntutan China terhadap wilayah Malaysia.

“Kenyataan ini adalah cuai dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Perdana Menteri.

“Implikasi kenyataan ini secara tidak langsung telah memperakui tuntutan negara China terhadap kawasan yang sudah sah merupakan wilayah Malaysia yang mesti dipertahankan.

“Pada hakikatnya, kawasan cari gali Petronas yang dirujuk oleh Perdana Menteri adalah dalam wilayah Malaysia dan tidak boleh dirundingkan walaupun dituntut oleh negara China,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga bekas Perdana Menteri, merujuk kepada kenyataan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun dalam sidang Dewan Rakyat bertarikh 4 April 2023.

Perdana Menteri ketika memaklumkan bahawa terdapat tuntutan bertindih di Laut China Selatan “terutama kebimbangan negara China kerana Petronas telah menjalankan satu kegiatan besar-besaran di satu kawasan yang juga dituntut oleh negara China”.

Beliau menambah, “kalau negara China merasakan ini hak mereka, kita boleh buka untuk rundingan”.

Muhyiddin, menegaskan Malaysia mesti tegas mempertahankan kedaulatan wilayah dan keselamatan negara bagi melindungi hak dan tuntutan wilayah negara.

Beliau berkata, kenyataan Perdana Menteri tentang keterbukaan Malaysia untuk berunding ke atas hak wilayahnya telah mengundang risiko ancaman kedaulatan negara.

“Kenyataan Perdana Menteri yang dibuat di Parlimen ini adalah amat lemah, amat tidak bertanggungjawab dan kelihatan seperti menggadai maruah dan kedaulatan negara kepada kuasa asing,” katanya.

Muhyiddin turut mengulas mengenai kenyataan Anwar di Dewan Rakyat “…tentang kehadiran kapal dan sebagainya, itu diterangkan oleh negara China. Itu perairan antarabangsa. Akan tetapi pihak kementerian luar akan terus memantau dan sekiranya ada pelanggaran, akan mengeluarkan bantahan.”

“Dalam soal kehadiran kapal tentera laut China di kawasan perairan yang turut dituntut oleh tujuh negara termasuk Malaysia tetapi didakwa oleh China sebagai perairan antarabangsa, Perdana Menteri sepatutnya tegas mempertahankan kedaulatan wilayah negara seperti yang termaktub dalam peta Malaysia 1979.

“Sehingga kini, kawasan pertikaian di Laut China Selatan masih belum diputuskan dan ASEAN juga tidak mencapai konsensus mengenai pertindihan tuntutan di Laut China Selatan. Perlu diingat bahawa ASEAN menolak pengiktirafan 9 Dash Line yang dituntut oleh negara China, termasuk dalam wilayah perairan Malaysia,” kata Muhyiddin lagi.

Menurutnya, berkenaan pertindihan tuntutan pula, sebarang perbincangan mesti dibuat selaras dengan Konsensus ASEAN dan ‘South China Sea Code of Conduct’.

“Sementara Malaysia mengiktiraf negara China sebagai kuasa ekonomi global, kedaulatan negara kita tidak boleh dikompromi sama sesekali.

“Mengambil kira kedudukan ASEAN sebagai gabungan sepuluh buah negara, Malaysia mestilah menangani isu maritim antarabangsa secara lebih berwaspada berpandukan prinsip kedaulatan negara dan Gagasan ASEAN,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights