MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskan penyanyi Jason Lo atau nama sebenarnya Jason Jonathan Lo daripada pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dalam badannya.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin yang membuat keputusan itu hari ini, sehubungan itu mengetepikan rayuan pendakwaan dan mengekalkan keputusan mahkamah majistret pada 24 Jun tahun lalu yang melepas dan membebaskan Jason.
Jason ketika ditemui media, menzahirkan rasa syukur dengan keputusan itu dan berterima kasih kepada peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakilinya.
Katanya, beliau percaya dengan sistem kehakiman di negara ini dan menghargai jasa peguam yang telah bekerja keras dalam membantunya.
Manakala dalam prosiding sama, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nik Mohd Fadli Nik Azlan.
Mahkamah Majistret sebelum ini melepas dan membebaskan Jason selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Jason didakwa memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badannya tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang, di tandas pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di Jalan Travers, Brickfields pada 5.15 petang, 15 Nov 2019.
Pendakwaan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan diwajibkan pengawasan di bawah seliaan pegawai pemulihan sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan. – Malaysiapost
Foto: Bernama