Kabinet patut dedahkan laporan CEP dan IRC

Lim Kit Siang

SAYA mengalu-alukan keputusan Kabinet untuk nyahrahsia laporan penuh siasatan kerajaan terhadap insiden nahas kapal terbang pada tahun 1976 yang telah mengorbankan 11 orang, termasuklah Ketua Menteri Sabah ketika itu, Fuad Stephens, kerana tidak ada sebarang sebab atau alasan untuk laporan ini terus dikekalkan di bawah Akta Rahsia Rasmi selama 47 tahun.

Tiga sebab telah dikatakan mungkin menjadi punca kepada nahas kapal terbang Nomad 47 tahun yang lepas — kapal terbang terlebih muatan, kesilapan juruterbang, atau kecacatan reka bentuk kapal terbang.

Diharapkan pendedahan laporan yang dibuat 47 tahun ini dapat memberi penutup kepada insiden yang bukan sahaja telah mengorbankan Ketua Menteri Sabah, tetapi juga tiga orang Menteri Negeri Sabah ketika itu — Salleh Sulang, Peter Mojuntin, dan Chong Thien Vun.

Sekiranya insiden ini tidak terjadi, sejarah Sabah pada hari ini mungkin sangat berbeza.

Tambahan lagi, saya juga menyeru supaya pengharaman terhadap buku Bernard Sta Maria mengenai Peter Mojuntin, “The Golden Son of the Kadazan” dibatalkan.

Selari dengan prinsip tadbir urus baik dan sebagai sebuah pentadbiran yang mendukung prinsip ketelusan, keterbukaan, dan akauntabiliti, dokumen seterusnya yang patut dinyahrahsia adalah laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) dan Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC).

Sidang Parlimen selama lapan minggu sempena pembukaan Parlimen ke-15 sudah tentunya akan menjadi sidang yang sangat bersejarah sekiranya laporan Majlis Penasihat Kerajaan dan Jawatankuasa Reformasi Institusi ini telah dinyahrahsia dan dibentangkan sebagai Kertas Putih dalam minggu terakhir Parlimen.

Perkara ini adalah salah satu dari lima cadangan yang telah saya buat pada bulan Januari tahun ini, untuk menjadikan sidang pembukaan Parlimen ke-15 sebagai satu sidang yang paling diingati dalam sejarah Malaysia dengan memulakan inisiatif reformasi institusi untuk membolehkan Malaysia mencapai matlamat berganda untuk menyatukan masyarakat majmuk di Malaysia dan untuk menetapkan semula hala tuju negara untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.

Malangnya, cadangan ini tidak dilaksanakan, tetapi dengan pendedahan laporan siasatan Nahas Nomad Double-Six 1976, makin sedikitlah sebab untuk terus merahsiakan laporan CEP dan IRC dibawah peruntukan Akta Rahsia Rasmi.

Penerbitan laporan CEP dan IRC oleh Kerajaan Perpaduan Anwar ini lebih mendesak dan diperlukan memandangkan sejak dari awal lagi, kedua-dua laporan ini tidak sepatutnya dirahsiakan di bawah Akta Rahsia Rasmi dan disekat dari dibincangkan dan dibahaskan oleh rakyat.

Saya telah berkali-kali menyeru supaya laporan-laporan CEP dan IRC ini diterbitkan, seawal 13 Oktober 2018 di mana saya memetik seruan Pengerusi CEP, Daim Zainuddin, yang menyeru supaya cadangan-cadangan CEP ini dibentangkan kepada orang awam.

Saya buntu sejak dahulu lagi mengenai mengapa Perdana Menteri ketujuh, Dr. Mahathir Mohamad, enggan untuk meminta Kabinet dan Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk menyahrahsia laporan CEP dan IRC ini pada tahun 2018 dan 2019.

Hakikat di mana Mahathir terus berdiam diri mengenai isu ini menjadi bukti yang dia sedar bahawa dia melakukan perkara yang salah dan telah mengkhianati badan-badan NGO dan individu-individu yang telah memberikan pandangan mereka mengenai reformasi institusi kepada CEP dan IRC.

Kerajaan Perpaduan Anwar tidak sepatutnya menambah lagi kepada kesilapan Mahathir dengan terus merahsiakan laporan CEP dan IRC di bawah Akta Rahsia Rasmi.
.
Penulis ialah veteran DAP
(Tulisan ini dipetik sepenuhnya dari artikel di blog penulis)

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights