PAS meminta isu ‘ponteng’ membabitkan tiga pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat pada sesi soal jawab Perdana Menteri (PMQ) kelmarin, tidak perlu dijadikan isu.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ini kerana ada pihak yang memberi gambaran salah berhubung sesi PMQ.
“Kadang-kadang mereka salah faham, sesi PMQ bukan semua orang boleh tanya, jika Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir pun, bukan boleh tanya soalan.
“Orang yang kemukakan soalan bertulis dan selepas Perdana Menteri jawab, orang yang sama saja boleh bertanyakan soalan tambahan, bukannya orang lain boleh mencelah.
“Ini kerana, prosedur dalam Parlimen bukan macam itu. Kita ada lebih 70 Ahli Parlimen dan perkara itu (isu ketidakhadiran) hanya sekadar mahu menampakkan keburukan pembangkang,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Media sebelum ini melaporkan, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, mempertikaikan kegagalan tiga pemimpin utama pembangkang hadir di Dewan Rakyat, bagi bertanyakan soalan ketika sesi PMQ kelmarin.
Mereka ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, berkata pembangkang khususnya pimpinan utama mereka seharusnya mengambil peluang terbaik untuk membangkitkan soalan, berdepan dan bersemuka dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi PMQ itu.
Menyentuh mengenai persediaan Pilihan Raya Negeri, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan berhubung agihan kerusi namun belum memuktamadkan perkara itu.
“Setakat ini semua negeri sudah mengadakan perbincangan dan tidak berdepan sebarang masalah berbangkit. Cuma tunggu untuk buat keputusan akhir,” katanya. – Malaysiapost