Kenyataan dakwa SPRM siasat KSN, KPPA adalah palsu

PEJABAT Perdana Menteri (PMO) menafikan mengeluar satu kenyataan hari ini mengenai kes-kes salah guna kuasa membabitkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

Dalam satu kenyataan rasminya malam ini, PMO memaklumkan kenyataan yang kini tular di media sosial itu adalah palsu.

“Merujuk kepada Kenyataan Media yang didakwa dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri bertarikh 6 April 2023 yang tular di media sosial. Untuk makluman, kenyataan tersebut adalah palsu.

“Pejabat Perdana Menteri tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti itu,” menurut PMO.

PMO turut menegaskan tindakan mengeluarkan kenyataan tersebut ternyata berniat jahat dan mengelirukan rakyat dan orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat yang tidak pasti atau palsu.

Terdahulu tular kenyataan palsu itu mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan dengan kadar segera terhadap kes salah guna kuasa melibatkan perkhidmatan KSN dan KPP. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights