VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Ab Samad menempelak Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung kenyataannya mendakwa ada rakyat yang terpaksa ‘menjual’ buah pinggang untuk menampung kehidupan.
Beliau berkata, Wan Ahmad Fayhsal dilihat begitu terdesak mahu menjadikan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai isu sehingga sanggup membuat pelbagai dakwaan.
“Ada orang dah jual otak dia! Nak jadikan pengeluaran duit KWSP sebagai isu, macam-macam didakwakan,” katanya ringkas di Facebook.
Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal ketika sidang media di Dewan Rakyat mendakwa kehidupan rakyat ketika ini amat sukar sehingga ada yang terpaksa menjual buah pinggang demi kelangsungan hidup.
Kenyataan Ahli Parlimen Machang itu dibuat susulan keengganan kerajaan untuk membenarkan pengeluaran KWSP bersasar seperti yang dituntut rakyat.
Malah, Wan Ahmad Fayhsal berkata, soalan berhubung isu itu yang dibangkitkan beliau naik dalam Aturan Urusan Mesyuarat Khamis lalu, namun tidak sempat dijawab Menteri Kewangan.
“Sebab dalam soalan saya itu, kalau tidak dapat beri keizinan untuk pengeluaran bersasar, apakah cadangan lanjut daripada kerajaan untuk membantu kerajaan untuk bantu rakyat yang susah, yang resah?
“Bahkan, sampai ada yang jual buah pinggang, yang datang berjalan dari Johor ke Istana Negara pada hari ini.
“Ini bukan perkara main-main, perkara besar yang melibatkan kepentingan umum,” katanya. – Malaysiapost