Legenda Selangor, Azhar Shariff meninggal dunia
LEGENDA bola sepak Selangor dan bekas pemain tengah negara, Azhar Shariff meninggal dunia di Hospital Selayang pada jam 4.30 pagi tadi.
Sebelum ini Allahyarham, 58, dilaporkan dirawat di Hospital Selayang dan ‘ditidurkan’ oleh doktor.
Azhar yang seangkatan dengan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari adalah antara tonggak utama Selangor pada era pertengahan 1980-an dan pernah menjulang Piala Malaysia pada 1984 dan 1986.
Allahyarham juga rakan sepasukan mendiang R Arumugam, Zainal Abidin Hassan, Zapril Hashim, Khang Hung Meng, Lim Teong Kim dan Zainal Nordin.
Pada final Piala Malaysia 1986, Azhar mencetak dua gol buat Selangor untuk meraih kemenangan 6-1 ke atas Johor selain meledak satu gol ketika final Piala Malaysia 1984 dengan menewaskan Pahang 3-1. – Malaysiapost