Majlis Ulama Umno gesa masyarakat antarabangsa kutuk kekejaman zionis

MAJLIS Ulama Umno mengecam sekeras-kerasnya pencabulan dan jenayah kekejaman yang dilakukan oleh tentera haram zionis ke atas pengunjung Masjid Al-Aqsa yang beriktikaf di masjid tersebut.

Sehubungan itu, Majlis Ulama Umno menyeru kepada masyarakat antarabangsa dan umat Islam di seluruh negara untuk menyatakan pendirian mereka dan mengecam tindakan jenayah ini.

“Ia jelas bertentangan dengan prinsip dan amalan antarabangsa berkaitan penghormatan terhadap tanah suci dan tempat mulia ibadat serta kebebasan untuk mengamalkan agama masing-masing apatah lagi ia berlaku pada bulan Ramadan.

“Jenayah kemanusiaan yang berlaku ini sudah tentu akan menyentuh emosi seluruh umat Islam yang pasti akan mencetuskan perkara-perkara tidak diingini.

“Kami menyeru supaya para ulama dan umat Islam terus berdoa agar diberikan kemenangan dan hak rakyat Palestin terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) memastikan rejim Israel bertanggungjawab ke atas serbuan terhadap rakyat Palestin di kompleks Masjid Al-Aqsa, semalam.

Serangan itu menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin cedera.

Anwar turut mendesak agar semua rakyat Palestin yang ditahan ketika serbuan tersebut dibebaskan segera.

Semalam, media melaporkan polis Israel menyerang puluhan jemaah di pekarangan Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis sebelum waktu subuh, mengakibatkan tujuh daripada mereka cedera sementara 200 rakyat Palestin ditahan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights