Malaysia berdiri teguh bersama Palestin – Anwar
MALAYSIA berdiri teguh dan bersolidariti bersama rakyat Palestin yang kini ditindas rejim zionis, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar juga menegaskan status Al-Quds Al-Sharif sebagai tapak suci bagi umat Islam.
Justeru beliau menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk mempertanggungjawabkan rejim Israel atas jenayah keji mereka menyerang Masjid Al-Aqsa.
Beliau turut menggesa agar rakyat Palestin yang ditahan dalam serangan terbaharu polis dan tentera Israel supaya dibebaskan segera.
“Masyarakat antarabangsa mesti menuntut rejim Israel menghentikan serta-merta sebarang tindakan provokatif demi kepentingan keamanan dan kestabilan.
“Malaysia terus berdiri dalam solidariti yang kuat dengan rakyat Palestin dan mengulangi status Al-Quds Al-Sharif sebagai tapak suci umat Islam,” katanya dalam ciapan di Twitter, hari ini.
Difahamkan polis dan tentera Israel menceroboh Masjid Al-Aqsa awal pagi semalam dan lebih 400 orang rakyat Palestin dilaporkan ditahan.
Rejim zionis turut dilaporkan sekali lagi menceroboh Masjid Al-Aqsa pada malam tadi dan ramai jemaah yang berada di masjid berkenaan dikasari dan ditahan. – Malaysiapost