Malaysia kutuk serangan terhadap jemaah Masjid Al-Aqsa

MALAYSIA mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaru terhadap jemaah dan pencerobohan ke dalam Masjid Al-Aqsa oleh tentera rejim Israel semalam.

Dalam insiden itu, sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin cedera, dan ratusan yang lain ditahan. 

Wisma Putra menerusi kenyataan hari ini berkata tindakan tentera Israel menyalahi undang-undang, menghina dan mencabuli hak asasi manusia Palestin dan kesucian tempat paling suci ketiga dalam Islam. 

Sehubungan itu katanya, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) supaya rejim Israel bertanggungjawab atas jenayah kejam itu, dan membebaskan semua tahanan Palestin dengan segera. 

“Masyarakat antarabangsa mesti menuntut rejim Israel menghentikan serta-merta sebarang tindakan provokasi demi kepentingan keamanan dan kestabilan. 

“Malaysia terus berdiri dalam solidariti yang kuat dengan rakyat Palestin dan mengulangi status Al-Quds Al-Sharif sebagai tapak Suci Umat Islam,” katanya kenyataan itu.

Wisma Putra menambah, Malaysia berpegang teguh dengan pendiriannya sejak sekian lama bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara merdeka, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights