Mohamad Rizal serah representasi kedua gugurkan tuduhan

Mohamad Rizal serah representasi kedua gugurkan tuduhan

SELEPAS representasi pertamanya ditolak, Mohamad Rizal Van Geyzel hari ini mengemukakan representasi kedua bagi menggugurkan dakwaan membuat dan memulakan hantaran video menyentuh sensitiviti kaum yang dihadapinya.

Pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club itu pada 20 Januari lalu, gagal representasi pertama dikemukakan pada 12 Disember 2022 untuk menggugurkan tiga tuduhan dihadapi selepas ia ditolak Jabatan Peguam Negara (JPN).

Pada sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, peguamnya, M Pravin memaklumkan kepada Hakim N Priscilla bahawa surat representasi diserahkan hari ini kerana ada perkembangan baharu yang sangat penting.

Sehubungan itu Pravin memohon perbicaraan kes berkenaan bermula pada Jun ini manakala tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelumnya bermula 14 April ini dilapangkan sementara menunggu keputusan representasi.

Katanya, anak guamnya juga akan mengemukakan permohonan untuk mendapatkan sementara pasport antarabangsa bagi membolehkannya menunaikan umrah pada 15 hingga 30 Mei ini.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman memaklumkan, pendakwaan memerlukan tempoh masa sebulan untuk mengkaji representasi tersebut dan menyerahkannya kepada pihak atasan.

Hakim Priscilla kemudian menetapkan pada 31 Mei ini untuk memaklumkan keputusan representasi dan melapangkan tarikh perbicaraan ditetapkan sebelumnya serta menetapkan pada 1 dan 2 Jun sebagai tarikh baharu perbicaraan baharu.

Mohamad Rizal, 40, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui media sosial.

Dia didakwa membuat hantaran itu di aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Rizal van Geyzel, Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’, antara 4 hingga 6 Julai 2022. – Malaysiapost

Komen