Penjawat awam Pulau Pinang dapat bantuan Khas Aidilfitri RM1,500

KERAJAAN Pulau Pinang mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena Aidilfitri sebanyak 0.75 gaji bulanan atau minimum RM1,500 kepada semua kakitangan awam negeri itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata bantuan berkenaan diluluskan menerusi Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK), semalam.

Beliau berkata, pembayaran akan dibuat pada 17 April ini yang turut membabitkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri.

“Sebagai tambahan, BKK berjumlah RM300 masing-masing turut disalurkan kepada penyelia dan guru Kelas al-Quran serta Fardu Ain (KAFA), guru sekolah rendah agama rakyat (SRAR) dan guru sekolah menengah agama rakyat (SMAR).

“Ia turut membabitkan kakitangan SRAR, SMAR dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), guru tahfiz, pondok dan tadika Islam (TADIS) serta guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina negeri Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kon Yeow berkata, bayaran BKK berkenaan dianggarkan membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM10.95 juta kepada kerajaan negeri.

Katanya, selain untuk persediaan menyambut Syawal, BKK juga adalah sebagai tanda penghargaan kepada anggota perkhidmatan awam negeri di atas sumbangan dan komitmen tidak berbelah bahagi yang diberikan mereka.

“Ia termasuk dalam memastikan pentadbiran negeri berada pada landasan yang tepat untuk merealisasikan Visi Penang 2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights