HAMPIR 70,000 warga peserta Felcra Berhad menerima berita gembira menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan pengumuman Keuntungan Boleh Agih Akhir Projek Peserta 2022 berjumlah RM182,785,208.18.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, hari ini.
Felcra Berhad dalam satu kenyataan, memaklumkan Keuntungan Boleh Agih Akhir Projek Peserta 2022 itu memanfaatkan seramai 68,437 peserta di seluruh Malaysia melibatkan 616 projek untung.
“Prestasi bayaran akhir ini dipengaruhi oleh trend harga minyak sawit mentah (MSM), kos input pertanian dan kos tenaga buruh berikutan pelarasan gaji minimum yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.
“Jumlah agihan keuntungan tahunan projek-projek peserta Felcra Berhad 2022 telah meningkat kepada RM501,556,634 berbanding tahun 2021 sebanyak RM475,207,280 iaitu peningkatan sebanyak 5.54 peratus atau RM 26,349,354,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, bayaran bagi keuntungan boleh agih itu akan dibayar kepada warga peserta secara berperingkat bermula hari ini.
“Langkah Felcra Berhad yang terus membantu peserta melalui pelbagai program keusahawanan dilihat mampu memberi pendapatan sampingan lumayan kepada para peserta.
“Keuntungan Boleh Agih Akhir Projek Peserta 2022 diumumkan Zahid ketika menyempurnakan Majlis Santunan Kasih Ramadan di Simpang Pertang, Jelebu hari ini,” katanya.

Pada majlis tersebut juga, Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan kepada masjid dan Pusat Tahfiz sekitar DUN Pertang sebanyak RM 86,000 dan agihan duit raya kepada pelajar tahfiz.
Turut diserahkan replika cek berjumlah RM80,000 bagi program Quick Win KEMAS yang melibatkan 20 peserta bagi membantu meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar. – Malaysiapost